fb fb fb fb fb

Banjir: Jumlah penduduk terjejas di 6 negeri tidak banyak berubah

Banjir di jalan utama ke Pekan Rantau Panjang dan kawasan sekitar/JBPM Kelantan

KUALA LUMPUR, 27 Disember- Setakat pukul 10.00 malam, jumlah penduduk terjejas banjir di enam negeri meningkat kepada 27,463 orang berbanding 25,007 orang petang tadi.

Menurut portal InfoBencana JKM, penduduk terjejas ditempatkan di 140 pusat pemindahan sementara (PPS).

Negeri Kelantan merekodkan jumlah penduduk paling ramai terjejas iaitu sebanyak 21,032 orang yang dipindahkan ke 67 PPS. Jumlah tersebut meningkat daripada 17,331 orang yang ditempatkan di 63 PPS petang tadi.

Di Terengganu pula, jumlah penduduk terjejas banjir sedikit menurun kepada 6,175 orang berbanding 7,387 orang petang tadi. Mereka kini berlindung di 63 PPS.

Manakala di Pahang merekodkan seramai 119 orang di empat PPS berbanding 78 orang di tiga PPS, petang tadi. PPS di Raub ditutup sepenuhnya pukul 8.00 pagi tadi, apabila banjir di daerah itu surut sepenuhnya. Kesemua 273 penduduk terjejas dalam mukim Dong telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di Selangor kekal dengan empat orang yang ditempatkan di PPS daerah Kuala Langat.

Sementara itu, dua negeri terbaharu dilanda banjir malam semalam iaitu Sabah dan Johor.

Penduduk terjejas Negeri Sabah berkurangan dengan merekodkan seramai 20 orang penduduk terjejas di dua PPS setakat ini, berbanding 169 orang di tiga PPS petang tadi.

Negeri Johor pula merekodkan 113 orang penduduk terjejas di tiga PPS, berbanding 108 orang di tiga PPS.

ROSLINA BINTI DIN