fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir di Sabah meningkat, Sarawak rekod penurunan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 9 Februari- Jumlah penduduk terjejas banjir di Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat manakala di Sarawak mencatatkan penurunan, setakat pukul 8.00 malam ini.

Di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 1,034 orang daripada 322 keluarga, berbanding 989 orang daripada 308 keluarga pada pukul 4.00 petang tadi.

Menurut kenyataan itu, 538 orang daripada 177 keluarga ditempatkan di dua PPS daerah Beaufort, 275 orang (71 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan manakala penduduk terjejas banjir di Membakut meningkat kepada 221 orang (74 keluarga) yang berlindung di sebuah PPS.

“Trend pemindahan penduduk terjejas banjir di Beaufort dan Kinabatangan kekal manakala di Membakut pula meningkat,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan jumlah penduduk terjejas berkurangan kepada 1,570 orang, berbanding 1,877 orang petang tadi dengan 14 PPS masih lagi beroperasi.

Kenyataan itu memaklumkan 613 mangsa berlindung di empat PPS di bahagian Bintulu, 603 orang ditempatkan di empat PPS bahagian Mukah dan 33 orang berada di dua PPS bahagian Sibu manakala di bahagian Miri kekal 321 orang di empat PPS.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM