KUANTAN, 19 Disember – Situasi banjir di Pahang terus menunjukkan penurunan apabila seramai 7,067 orang daripada 2,392 keluarga telah dipindahkan ke 64 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pukul 4.00 petang tadi melibatkan tujuh daerah.
Menerusi sumber infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kuantan merekodkan jumlah penduduk terjejas tertinggi dengan 6,281 penduduk daripada 2,143 keluarga ditempatkan di 42 PPS, melibatkan empat mukim, sejak PPS mula dibuka pada 16 Disember 2025.
Sementara itu, Pusat Pemindahan Sementara di Lipis telah ditutup tengah hari tadi.
Di Pekan, sebanyak 10 PPS telah dibuka bermula 17 Disember, menempatkan 476 penduduk daripada 169 keluarga melibatkan lima mukim.
Sementara itu, Jerantut mencatatkan 121 penduduk daripada 37 keluarga di empat PPS sejak 18 Disember.
Manakala Rompin pula merekodkan 42 penduduk daripada 13 keluarga ditempatkan di satu PPS melibatkan satu mukim.
Di Maran, seramai 28 penduduk daripada empat keluarga telah dipindahkan ke satu PPS bermula 18 Disember, manakala Bera dan Temerloh masing-masing mencatatkan 60 orang (13 keluarga) di tiga PPS serta 59 penduduk (13 keluarga) di tiga PPS, sejak 19 Disember.