fb fb fb fb fb

JSPT Perlis tawar diskaun saman trafik terpilih sehingga 50 peratus

Foto RTM

KANGAR, 12 Julai-Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus untuk pembayaran saman trafik terpilih selama tiga hari bermula hari ini sehingga 14 Julai ini sempena Karnival Jualan Agromadani Mega di Dataran Bersebelahan Kompleks DUN Perlis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Saifudin Aslin Abbas dalam kenyataannya memaklumkan, inisiatif ini bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk membayar saman trafik dengan diskaun yang ditawarkan itu.

Selain itu, usaha berkenaan dilakukan berikutan kesedaran pengguna jalan raya khususnya di Perlis yang masih rendah dalam menjelaskan saman tertunggak.

Saifuddin walaubagaimanapun menegaskan pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar.

JSPT turut menyediakan kaunter bagi pembayaran fizikal serta mereka yang ingin membayar saman menggunakan aplikasi MyBayar PDRM dengan menyediakan kod QR untuk mereka mendapatkan diskaun 50 peratus berkenaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD