SINTOK, 26 Disember- Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (JPRK) Universiti Utara Malaysia (UUM) menetapkan 9 Januari 2024 sebagai tarikh Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi sesi 2023/2024.
Serentak pengumuman itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2022/2023 telah terbubar bermula hari ini dan pihak universiti berhak melantik 'Caretaker' sehingga MPP baharu dilantik menerusi proses demokrasi itu.
JPRK mengumumkan borang pencalonan boleh dibeli bermula 26 hingga 28 Disember dan tempoh semakan serta pengesahan calon dibuat sehingga 1 Januari 2024.
PRK UUM menetapkan hari penamaan calon pada 2 Januari tahun hadapan dan calon bertanding diberi masa 2 hingga 8 Januari 2034 untuk berkempen.
Hari pengundian dan pengumuman keputusan Pilihan Raya Kampus UUM akan diumum pada 9 Januari nanti.
Proses pemilihan MPP merupakan salah satu aktiviti tahunan yang bermatlamat memilih barisan kepimpinan mewakili semua pelajar di universiti selari dengan peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini memutuskan supaya tata cara pelaksanaan Pilihan Raya Kampus disemak semula bagi membenarkan pelajar mengendalikan sendiri proses pemilihan ini secara telus dan bebas.
UUM menyahut saranan itu dengan membenarkan pelaksanaan PRK sepenuhnya oleh pelajar bermula sesi 2023/2024 menerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus.
Proses pemilihan kali ini diharap menjadi medan latihan kepada pelajar bagi menentukan wakil pemimpin dan mempunyai suara dalam menentukan hala tuju mahasiswa di universiti tersebut.