fb fb fb fb fb

Fasiliti sekolah daif, JPN Sabah ambil tindakan segera

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh

IPOH, 18 Januari- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah telah melakukan tindakan segera berhubung fasiliti sekolah daif di sebuah sekolah di Sabah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata sejumlah RM140,000 telah disalurkan tahun lalu bagi menaik taraf fasiliti di sekolah berkenaan.

Menurutnya, bagi tahun ini pula JPN Sabah telah mengemukakan peruntukan baharu dan ia akan disalurkan dengan segera. 

"Apa yang penting bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah melalui JPN di negeri masing-masing, dalam kes ini di Sabah saya percaya bahawa JPN negeri telah memberikan bantuan juga panduan yang sewajarnya kepada sekolah.

"Di pihak kami, seperti yang saya katakan tahun lepas sudah diberikan RM140,000 atau tahun ini juga akan diluluskan peruntukan dan setelah jumlah itu kami dapat sahkan maka kami akan membuat pengumuman dan penyaluran dengan segera," katanya selepas merasmikan pembukaan Prasekolah Harmoni Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sam Chai di sini.

Sebelum ini, tular di media sosial, fasiliti di Sekolah Kebangsaan (SK) Darau di Kota Kinabalu, Sabah seperti tidak dipedulikan menyebabkan ibu bapa pelajar di sekolah berkenaan mengumpul wang sebanyak RM1 seorang bagi membeli kipas baru.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM