JPJ Terengganu perketat penguatkuasaan sempena Tahun Baharu Cina

Zamri Samion ketika menjadi tetamu di konti Terengganu FM

KUALA TERENGGANU, 11 Februari – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Terengganu melaksanakan Op Tahun Baharu Cina 2026 bermula 13 hingga 22 Februari ini bagi memastikan kelancaran trafik dan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya sepanjang musim perayaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ Terengganu jalankan Op Tahun Baharu Cina 13–22 Februari untuk kelancaran trafik dan keselamatan jalan raya.
  • Operasi tumpu larangan kenderaan barangan pada tarikh tertentu, pemeriksaan depoh, terminal dan Op Khas pelbagai kategori.
  • Pengguna dinasihatkan berhati-hati di kawasan berisiko seperti jajaran Paka dan Dungun serta pastikan kenderaan dalam keadaan baik.

Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, operasi selama 10 hari itu memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama termasuk larangan pemanduan kenderaan barangan pada 14 hingga 15 Februari serta 21 hingga 22 Februari.

“Operasi ini memberi perhatian kepada larangan pemanduan kenderaan barangan pada tarikh tertentu selain pemeriksaan di depoh dan terminal. Kami turut melaksanakan Op Khas Motosikal, Op Khas Kenderaan Perdagangan dan Perkhidmatan Awam, Op Kesalahan Utama, Op Teknikal serta operasi penyamaran menggunakan kamera untuk mengenal pasti sembilan kesalahan utama lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir sebagai tetamu di konti Terengganu FM, Jabatan Penyiaran Malaysia Terengganu.

Menurutnya, beberapa kawasan berisiko kemalangan khususnya di jajaran Paka dan Dungun memerlukan perhatian pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, hampir sejuta kenderaan dijangka menggunakan laluan ke Pantai Timur sepanjang tempoh perayaan.

Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan risiko kemalangan.