PUTRAJAYA, 2 Januari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan kompaun khas sebanyak RM150 bagi tiga jenis kesalahan jalan raya bermula esok hingga Jun tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kadar khas itu melibatkan Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
Katanya, pembayaran kompaun khas hanya boleh dibuat melalui kaunter JPJ, portal awam JPJ, kiosk JPJ, kaunter mudah alih JPJ, dan aplikasi MyJPJ.
Saluran lain seperti MyEG dan Pos Malaysia tidak tersedia untuk pembayaran tersebut.
“Kami menawarkan kadar kompaun khas ini bagi tempoh enam bulan, bermula tiga Januari, untuk memberi peluang kepada rakyat menyelesaikan saman tertunggak.
"Kini terdapat dua juta saman AwAS tertunggak, dan mereka yang gagal menyelesaikannya tidak akan dapat memperbaharui lesen memandu atau lesen kenderaan motor mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pejabat Baharu JPJ, di sini.
Sementara itu, JPJ mengumumkan penghentian sementara pengumpulan mata demerit bermula esok hingga 30 Jun 2025.
Dalam tempoh itu, Bahagian Penguatkuasa JPJ akan menjalankan kajian semula terhadap pelaksanaan Sistem Mata Demerit.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata JPJ kini membolehkan bayaran saman dilakukan terus melalui aplikasi MyJPJ, menjadikannya lebih mudah dan mesra pengguna.
“Kemudahan ini membolehkan rakyat menyelesaikan saman melalui telefon bimbit mereka. Pendigitalan JPJ adalah langkah berterusan untuk menyesuaikan perkhidmatan dengan teknologi semasa dan keperluan rakyat,” tambah Loke.
Sehingga kini, lebih 11.5 juta pengguna telah mendaftar dengan aplikasi MyJPJ, yang turut menawarkan perkhidmatan seperti pembaharuan Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Kenderaan Bermotor.
Pendekatan itu telah menyumbang pendapatan sebanyak RM291.03 juta kepada JPJ.