fb fb fb fb fb

JPJ sita 34 kenderaan dalam Op Gempur Teknikal

FOTO RTM

KOTA KINABALU, 23 Februari- Sebanyak 14,881 notis kesalahan dikeluarkan terhadap 47,021 kenderaan barangan dan perkhidmatan awam sepanjang operasi khas kenderaan perdagangan (Op Gempur Teknikal) yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 15 Februari lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas 41,475 kenderaan perdagangan dan 5,546 kenderaan perkhidmatan awam.

Jelasnya dalam operasi berkenaan, sebanyak 5,969 daripada kedua-dua jenis kenderaan itu telah diambil tindakan, manakala 34 lagi disita.

Beliau menegaskan JPJ tidak akan berkompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan berkenaan yang gagal mematuhi peraturan sedia ada demi keselamatan pengguna jalan raya.

"Daripada lebih 3,000 kesalahan yang dikesan, kebanyakannya melibatkan aspek teknikal seperti kegagalan menyelenggara kenderaan dengan baik, penggunaan tayar yang tidak mengikut spesifikasi serta keadaan tayar yang haus secara berlebihan.

"JPJ juga memandang serius kesalahan yang dilakukan oleh kenderaan perdagangan memandangkan kadar kemalangan yang melibatkan kenderaan ini masih tinggi.

"Oleh itu, JPJ akan terus mempergiatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan dari semasa ke semasa," katanya dalam sidang media selepas menyertai Op Khas Bersepadu di sini hari ini.

Op Gempur Teknikal dijadualkan berakhir pada 28 Februari ini.

SITI AISHAH MD ISA