fb fb fb fb fb

JPJ Pulau Pinang sita 22 kenderaan, keluar 63 saman

Foto Facebook JPJ Negeri Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 18 April - Kira-kira 22 kenderaan disita dalam Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di Bulatan Tun Hussain Onn, Seberang Jaya di sini semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang berkata, kenderaan yang disita membabitkan 17 motosikal, empat kereta dan sebuah van, dipandu warga Pakistan, Rohingya, Bangladesh, Myanmar serta lndonesia kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah khususnya tiada lesen memandu.

"JPJ turut mengeluarkan 63 saman kepada pemandu warga asing. Tiada lesen memandu antara kesalahan tertinggi yang dikesan seterusnya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans," menurut hantaran di Facebook jabatan JPJ Pulau Pinang.

Operasi itu dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap ketidakpatuhan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya terhadap pemandu warga asing yang memandu di negeri ini.

Pihak JIM Pulau Pinang turut membuat tangkapan ke atas lima warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

TETITIA YUSOFF