fb fb fb fb fb

JPJ Perlis keluarkan 256 saman ke atas pemandu Thailand

Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis melakukan Operasi Khas Musim Perayaan Hari Raya Aidiladha (OPS HRAA)

KANGAR, 18 Jun- Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengeluarkan sebanyak 256 notis saman ke atas pemandu warga Thailand menerusi Operasi Khas Musim Perayaan Hari Raya Aidiladha (OPS HRAA).

Tindakan saman berkenaan adalah bagi tempoh 10 Jun hingga semalam namun OPS HRAA akan berakhir pada 30 Jun ini.

Pengarah JPJ Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah dalam kenyataan memaklumkan, penguatkuasaan Operasi Khas Pemandu Warga Asing (OPS PeWA) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu warga Thailand yang melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya di Perlis.

"Kesalahan dikesan melibatkan Cermin Gelap sebanyak 165 kes, pengubahsuaian kenderaan dengan 12 kes dan Gagal Mematuhi Syarat Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) sebanyak 40 kes.

"JPJ Perlis turut mengeluarkan saman bagi kesalahan berkaitan Tiada Lesen Memandu sebanyak 17 kes dan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) Tamat Tempoh dengan 21 kes serta kesalahan Tidak Mempamerkan Nombor Pendaftaran Roman bagi kenderaan Thailand dengan 1 kes," katanya.

Operasi dilaksanakan di semua laluan utama keluar dan masuk ke Perlis dan melibatkan seramai 40 orang pegawai dan anggota penguatkuasa JPJ negeri itu.

Bagaimanapun pihaknya turut mengadakan pemeriksaan ke atas pemandu warga Thailand di Kompleks ICQS Padang Besar dan Wang Kelian.

Kesemua pemandu kenderaan Thailand yang dikenakan saman perlu menjelaskan kompaun serta-merta melalui perkhidmatan kaunter saman bergerak atau kaunter kompaun di Pejabat JPJ Perlis sebelum pemandu kenderaan pulang ke Thailand.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI