fb fb fb fb fb

JPJ Melaka keluarkan 275 notis atas pelbagai kesalahan

Sebanyak 239 kenderaan dikenakan saman ketika Ops Bersepadu di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah - JASIN (AMJ), di sini, malam tadi.

MELAKA, 25 Januari- Sebanyak 132 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka malam tadi.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata sebanyak 275 notis dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 239 kenderaan dikenakan saman.

Katanya, menerusi operasi tersebut, tiga kenderaan telah disita kerana kesalahan tiada lesen memandu, tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insurans.

"Keseluruhan 755 buah kenderaan yang kita periksa dan 273 yang dikenakan pelbagai notis dan tiga buah kenderaan disita pada malam ini selaras dengan hasil kita meminimumkan kadar kemalangan dan kematian jalan raya. Kita akan terus meningkatkan lagi usul melalui strategi tindakan operasi penguatkuasaan berterusan dan berhemah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ops Bersepadu di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah - JASIN (AMJ), di sini, malam tadi.

Firdaus berkata operasi turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kekuatan seramai 86 orang anggota.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan JPJ Melaka akan memulakan penggunaan slip lesen kenderaan motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang baharu bermula Februari ini.

Katanya, slip lesen baharu itu dikeluarkan bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim.

" Mungkin semua sudah maklum berkenaan penggunaan itu cuma bagi negeri Melaka kita jangkakan akan mula penggunaanya pada Februari nanti, di mana tujuan pengenalan slip ini adalah bagi penyesuaian dalam tempoh interim yang mana JPJ akan mengeluarkan lesen kenderaan motor atau LKM atau lesen memandu Malaysia secara fizikal dalam bentuk baru bagi diseragamkan ke seluruh Malaysia," katanya.

Slip LKM dan LLM akan dikeluarkan dalam bentuk slip kertas keselamatan berbanding sebelum ini yang menggunakan pelekat disk dan kad plastik.

ZEHRA BINTI ZAMBRI