fb fb fb fb fb

JPJ kuatkuasakan larangan pemanduan kenderaan barangan sempena Aidilfitri

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan/ Foto RTM

IPOH, 7 April-Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan larangan pemanduan kenderaan barangan sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024, bermula 12.01 tengah malam ini.

Larangan tersebut bakal berkuat kuasa bagi tempoh 8 hingga 9 April dan 2 hari selepas Aidilfitri iaitu 13 hingga 14 April 2024.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, ia sebagai usaha untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya. 


"Iaitu kategori 1, larangan sepanjang masa iaitu 'Car carrier, tipper dumper, tipping yang mana melebihi BDM 7,500 kg.

"Kategori 2, adalah larangan pergerakan dari  pukul12.00 malam hingga pukul 8.00 malam seperti lori kontena, lori mengangkut barangan elektronik, lori tanpa muatan, dan lori mengangkut barangan pengeluaran hasil sawit dan sebagainya", katanya ketika ditemui media ketika melakukan tinjauan operasi JPJ Perak di Meru di sini.

Manakala bagi kenderaan kategori ketiga, melibatkan kren bergerak dan lori pembancuh simen dengan larangan pergerakkan dari pukul 6.00 petang hingga pukul 6.00 pagi bagi 25 km dari tapak pembinaan.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui sistem AwAS, mengesan sebanyak 16,142 kes memandu melebihi had laju, di mana 95 peratus memandu dalam kelajuan di antara 130 sehingga 170 km sejam.

Manakala, lima peratus lagi daripada jumlah tersebut di kesan memandu melebihi 170 km sejam

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, ia dikesan sepanjang tempoh pelaksanaan operasi khas HRA 2024, bermula 1 April lepas.

"Kita boleh lihat bahawa sikap pemanduan laju ini masih belum dapat dikurangkan.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai bahawa memandu laju ini, kesannya sangat besar terhadap kemalangan dan boleh menyebabkan kemalangan maut", katanya ketika ditemui media di sini.

Menerusi operasi khas motosikal, pihaknya telah telah memeriksa sebanyak 100,684 buah motosikal dan sejumlah 13,128 unit telah diambil tindakan.

Manakala sejumlah 26,313 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan atas kegagalan mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya yang ditetapkan.

Ia termasuk 1,464 motosikal di sita atas kesalahan ekstrem.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD