fb fb fb fb fb

JPJ Kelantan peroleh lebih RM151,000 lelong kenderaan

Foto hiasan

KOTA BHARU, 16 Oktober- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengutip lebih RM151,000 hari ini hasil lelongan awam membabitkan 38 buah kenderaan.
 
Seramai 58 pembida menyertai lelongan berkenaan melibatkan pelbagai jenis kenderaan sita antaranya kereta pacuan empat roda dan motosikal sejak pukul pukul 9.00 pagi tadi.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata, kenderaan yang dilelong tersebut telah melakukan kesalahan seperti lesen kenderaan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, memiliki kenderaan bermotor tidak berdaftar dan mempamer nombor pendaftaran yang bukan kepunyaan kenderaan tersebut.

"Kenderaan yang mendapat hasil lelongan tertinggi daripada kesemua kenderaan yang dilelong pada hari ini adalah kenderaan di lot. 18 dan merupakan kenderaan klon buatan Toyota model BB (A) yang telah berjaya dilelong dengan harga RM35,000.

"Manakala kenderaan terendah bidaan pada hari ini adalah kenderaan skrap di lot. 37 jenis motosikal bernilai RM50," katanya dalam sidang media selepas selesai lelongan di sini.

Bagi tahun 2022, pelupusan kenderaan telah dibuat sebanyak dua kali melibatkan secara sebut harga dan lelongan awam 66 buah kenderaan dengan hasil kutipan hampir RM227,000.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI