KUCHING, 30 Mei- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengumumkan bahawa kucing, termasuk kucing peliharaan dan jalanan, akan turut divaksinasi dalam program antirabies negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas, berkata langkah itu diambil susulan kes rabies pertama tahun ini yang melibatkan seorang pelajar berumur 16 tahun. Pelajar tersebut kini kritikal selepas dicakar kucing jalanan.
“Setakat ini, 65% daripada kes rabies melibatkan anjing, sementara kucing hanya 5%. Orang ramai diminta lebih berhati-hati ketika mengendalikan kucing dan pastikan haiwan peliharaan divaksinasi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di Kuching semalam.
Beliau juga memaklumkan Jabatan Veterinar sedang mempertimbangkan kaedah alternatif seperti vaksin oral dan program pensterilan, bagi mengatasi cabaran mendapatkan kerjasama pemilik anjing dan bantahan beberapa NGO hak haiwan.
Datuk Amar Uggah turut mengingatkan sesiapa yang digigit atau dicakar untuk segera mencuci luka dengan air dan sabun sekurang-kurangnya 20 minit, kemudian dapatkan rawatan di 255 klinik pasca gigitan kerajaan atau 18 fasiliti kesihatan swasta yang sedia merawat kes rabies.