fb fb fb fb fb

JPA laksana lapan projek infrastruktur Kampung Angkat Madani di Seri Menanti

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim memalu gong sebagai simbolik Majlis Penutupan Rasmi Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Perkampungan Budaya Terachi/Foto BERNAMA

SERI MENANTI, 13 Disember - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi inisiatif Kampung Angkat Madani melaksanakan lapan projek utama melibatkan pembangunan infrastruktur di Kampung Seri Menanti.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata dengan peruntukan berjumlah RM1.1 juta, pelaksanaan inisiatif itu turut merangkumi penganjuran aktiviti bersama masyarakat setempat, selain menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’aba sebagai Sekolah Angkat Madani.

Menurut beliau, pelaksanaan lapan projek berkenaan membuktikan komitmen JPA sebagai agensi pusat dalam mendukung aspirasi serta agenda kerajaan.

1312 N9 JPA PROGRAM ANGKAT MADANI 2Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim/Foto BERNAMA

“Setakat hari ini, penyerahan projek telah selesai, kecuali beberapa komponen seperti makmal sekolah yang belum dapat dilaksanakan berikutan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berlangsung. Pelaksanaannya dijangka diteruskan pada suku pertama tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Rasmi Program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani, di sini.

Antara projek pembangunan infrastruktur yang telah dilaksanakan termasuk pemasangan lampu solar, naik taraf perpustakaan desa, balai raya, pusat sumber, gelanggang sepak takraw, dewan peperiksaan serta bengkel pembuatan perabot.

Selain itu, kemudahan teknologi pendidikan turut dipertingkatkan melalui pembekalan Google TV dan papan pintar bagi menyokong kaedah pembelajaran interaktif di sekolah terlibat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN