fb fb fb fb fb

Johor optimis kekalkan prestasi perdagangan positif - Exco Johor

Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han

JOHOR BAHRU, 16 September – Johor optimis mengekalkan prestasi perdagangan yang kukuh, dengan nilai eksport mencatatkan peningkatan sebanyak RM5.2 bilion pada Julai lalu berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Negara.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han, berkata peningkatan itu banyak disumbangkan oleh sektor petrol kimia dan elektronik, yang menjadi tunjang utama ekonomi negeri.

"Kawasan seperti Pengerang, Pasir Gudang, dan Tanjung Langsat telah menyumbang besar melalui sektor petrol kimia.

"Selain itu, sektor elektronik, khususnya semikonduktor, juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan jumlah perdagangan di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Program Sunbeam Splash 2.0 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri turut memohon peruntukan khas dalam Belanjawan 2025 bagi merealisasikan projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi Johor.

Projek itu dijangka memperkukuhkan kedudukan Johor sebagai hab perdagangan utama di Malaysia, dengan kerjasama strategik antara sektor-sektor kritikal seperti tenaga dan teknologi.

GRACE AISYAH KEDAYAN