fb fb fb fb fb

Johor kekalkan Seksyen 36 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid /FOTO RTM

BATU PAHAT, 1 Januari- Seksyen 36 Enakmen Jenayah (Syariah) Negeri Johor 1997 masih berkuat kuasa di negeri berkenaan meskipun Mahkamah Persekutuan telah memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan, Disember tahun lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, enakmen tersebut masih terpakai dan boleh digunakan untuk mendakwa individu yang melakukan perbuatan itu.

Menurut Fared,Jenayah berkenaan akan dikenakan hukuman iaitu denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih daripada tiga tahun ataupun kedua-duanya sekali.

Manakala isteri boleh diperintahkan kembali taat kepada suaminya.

"Maka saya nasihatkan untuk lelaki-lelaki jangan ganggu isteri orang, jaga rumah tangga sendiri.

"Perkara ini memang menjadi kerisauan buat orang islam, sebab bilamana pemansuhan di peringkat pusat itu ditakuti mempengaruhi keharmonian orang beragama islam yang berumah tangga di Johor", katanya demikian selepas merasmikan Program Penanaman Pokok Sempena Tahun Baharu 2024 di Pantai Teluk Warisan di sini.

15 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang berkaitan jenayah perbuatan lelaki yang menggoda isteri orang, kerana ia tidak berperlembagaan. 

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD