fb fb fb fb fb

Johor iktiraf peranan pengamal media, realisasi aspirasi pembangunan negeri

Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 29 November- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru kerjasama erat semua pihak dalam memperkasa inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City.

Sinergi berkenaan penting bagi memastikan dua projek berskala mega itu mampu dicapai sepenuhnya dan membawa manfaat berimpak tinggi kepada rakyat Johor. 

"Kita mempunyai pelan namun yang penting adalah pelaksanaannya. Kita kena melaksanakan apa yang kita rancang.

"Saya percaya rakyat Johor akan memperoleh manfaat dan limpahan kurnianya sangat besar menerusi pelaksanaan projek di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama semasa merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Media Johor, di sini.

Dalam pada itu kerajaan Johor turut mengiktiraf peranan yang dimainkan golongan pengamal media di negeri itu, dalam merealisasikan aspirasi pembangunan negeri yang dinamik dan progresif. 

Pada majlis sama, kerajaan negeri memperuntukkan dana RM150,000 kepada Kelab Media Johor (KMJ) bagi tahun hadapan, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa pengamal media.  

Sebelum ini, kerajaan negeri memperuntukkan dana sebanyak RM90,000 kepada KMJ.

Inisiatif itu dapat menyemarakkan semangat dan memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan pengamal media di Johor. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI