fb fb fb fb fb

Johor FAMA Fest sasar RM5 juta nilai eksport produk agromakanan ke pasaran global

JOHOR BAHRU, 23 Jun - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor menyasarkan nilai eksport agromakanan negara sebanyak RM5 juta dalam program Johor FAMA Fest 2023 yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tahun ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata bagi tujuan itu, FAMA membawa agen pemasar dari negara Singapura, Hong Kong dan Kemboja bagi memperluaskan pasaran produk agromakanan negara ke pasaran global.

"Ini adalah inisiatif bagi mempromosikan produk-prdouk keluaran makanan dan hasil pertanian yang dikeluarkan oleh para usahawan industri makanan dan pengusaha pertanian.

"Seramai 45 usahawan pemasar yang terdiri daripada usahawan tempatan akan membuat jualan selama empat hari di AEON Bukit Indah Johor Bahru bermula semalam hingga 25 Jun ini," katanya selepas merasmikan program Johor Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2023 di Aeon Bukit Indah hari ini.

Katanya, program itu juga menawarkan makanan warisan dan popular negeri Johor seperti mee rebus, otak-otak, pepes, jus avokado dan lain-lain lagi bagi menarik kehadiran pengunjung.

"FAMA turut menyasarkan nilai jualan sebanyak RM200 ribu menerusi penganjur program ini dan dijangka seramai 50 ribu orang pengunjung akan menghadiri program ini.

"Jualan Agro Madani juga turut diadakan bagi memudahkan para pengunjung mendapatkan barangan keperluan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai produk pertanian dengan harga yang berpatutan," katanya.



FAMA berjaya mencatatkan potensi nilai eksport bernilai RM93.7 juta melalui program galakan pasaran di luar negara tahun ini sehingga Mei 2023.

Ia melibatkan agen pemasar negara Emiriah Arab Bersatu, Jepun, China, Hong Kong, dan Kemboja.

Sementara itu, Pengerusi FAMA, Amnuddin Zulkipli berkata bekalan keterjaminan makanan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha adalah mencukupi.

Tambahnya, FAMA akan mengadakan Jualan Aidiladha Madani di 203 lokasi bermula pada hari Ahad ini di Stadium Shah Alam, Selangor dengan jualan sasaran sebanyak RM11 juta.

Media Baharu