KUALA TERENGGANU, 22 November - 25 cerun kritikal di Terengganu sedang dipantau dan disenarai dalam modul inventori cerun negara.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu (JMG), Habibah Tahir berkata ia melibatkan daerah Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
"Sebenarnya cerun kritikal ini ditakrifkan sebagai apabila berlakunya bencana geologi tanah runtuh ia boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Itu yang kita kategorikan sebagai cerun kritikal," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Tambah Habibah, selain melakukan pemantauan, JMG juga sedang membangunkan sistem amaran awal bencana geologi tanah runtuh melibatkan pemasangan alat pengesan di kawasan cerun kritikal untuk mengesan pergerakan tanah.
Katanya, komuniti setempat juga diminta untuk terus cakna dengan perubahan struktur tanah di sekeliling mereka dan segera melaporkan kepada pihak berkaitan jika ada pergerakan dikesan.