fb fb fb fb fb

JKST angkat martabat perundangan syariah ke peringkat lebih tinggi menerusi penerbitan jurnal

KUALA NERUS, 30 Januari - Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) mengorak langkah baharu dalam usaha untuk mengangkat martabat perundangan syariah ke peringkat lebih tinggi dengan penerbitan jurnal-jurnal berkaitan sebagai rujukan awam.

Keperluan untuk penghasilan jurnal ini berupaya memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya yang melibatkan setiap keputusan Mahkamah Syariah negeri ini sekali gus memberi pemahaman yang lebih baik.

Selain itu, penerbitan jurnal dalam pelbagai bahasa mampu menjadi inovasi baharu perundangan syariah ke peringkat global.

Menurut Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zaki Wan Mohd penerbitan jurnal itu perlu mendapat perhatian umum.

"Jurnal-jurnal ini juga akan menjadi rujukan awam yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja di seluruh dunia dalam memberi penyampaian perundangan Islam dengan lebih tepat dan jelas," kata Wan Mohd Zaki.

Bagi merealisasikan hasrat ini, JKST menjalin kerjasama strategik bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) seterusnya dijadikan sebagai jurnal rujukan akademik bagi institusi pengajian tinggi (IPT) itu.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr Fadzli Adam berkata menerusi kerjasama itu, ia akan memberi nilai tambah kepada pelajar dalam menjalankan penyelidikan sekali gus memberi manfaat dalam penghasilannya kepada kedua-dua pihak.

Media Baharu