fb fb fb fb fb

JKNP keluarkan 52 notis terhadap pengendali makanan bazar Ramadan

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Ir Razali Kassim (kanan) ketika melakukan Temu Mesra Kempen Keselamatan Makanan di Tapak Bazar Ramadan Mahkota Square di Kuantan

KUANTAN, 14 Mac - Sebanyak 52 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) kepada pengendali makanan di bazar Ramadan dalam tempoh dua hari.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Ir Razali Kassim berkata notis dengan nilai keseluruhan RM5,950 itu hasil pemeriksaan ke atas 526 gerai di seluruh negeri itu.

Beliau berkata, Pekan mencatat pengeluaran notis tertinggi iaitu sebanyak 27 notis.

"Kalau kita lihat dalam tempoh dua hari lebih kurang hampir 10 peratus. Saya rasa kempen kesedaran ini perlu dipertingkatkan sama ada kepada pengguna ataupun orang awam termasuk juga kepada pengendali makanan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pada Majlis Pelancaran Temu Mesra Kempen Keselamatan Makanan di Tapak Bazar Ramadan Mahkota Square, di sini.

Tambah Razali, dua kilang ais turut diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta makanan 1983 kerana pemilik gagal memastikan premis dalam keadaan bersih.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN