JKDM perkukuh analisis data, teknologi tangani cabaran trafik perdagangan

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Januari – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terus memperkukuh penggunaan analisis data, pengurusan risiko dan teknologi canggih bagi menangani cabaran peningkatan trafik perdagangan serta pergerakan penumpang yang semakin kompleks di pintu masuk negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKDM memperkukuh penggunaan analisis data, pengurusan risiko dan teknologi canggih untuk menangani peningkatan trafik perdagangan.
  • Kerjasama strategik dengan agensi tempatan dan rakan kastam antarabangsa meningkatkan keberkesanan kawalan dan keselamatan.
  • Latihan berterusan bagi pegawai disediakan selaras pengenalan sistem penimbasan dan kecerdasan buatan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri) Almirulita Mohd Yusoff berkata pertumbuhan ekonomi yang pesat telah menyumbang kepada peningkatan transaksi import dan eksport, sekali gus menuntut JKDM memastikan kelancaran rantaian bekalan tanpa menjejaskan aspek kawalan dan keselamatan.

“Apabila ekonomi berkembang, transaksi perdagangan menjadi semakin rancak. Ini merupakan cabaran besar kepada Kastam untuk memastikan pergerakan barangan berjalan lancar, namun pada masa sama kita perlu memastikan barangan larangan dan berisiko tidak terlepas ke pasaran,” katanya ketika ditemu bual RTM.

Menurut beliau, cabaran itu menjadi lebih rumit apabila modus operandi penyeludupan kini semakin licik, tidak lagi dilakukan secara langsung, sebaliknya melalui eksploitasi teknologi, rangkaian logistik global serta saluran perdagangan yang sah.

“Penyeludup kini menggunakan sistem, teknologi dan rangkaian yang berselindung di sebalik perdagangan sah. Oleh itu, Kastam perlu cekap mengenal pasti barangan berisiko tinggi dan rendah melalui pengurusan risiko yang lebih berstrategi,” katanya.

Beliau berkata pendekatan berasaskan keseimbangan antara fasilitasi perdagangan dan penguatkuasaan menjadi keutamaan JKDM, terutama dalam keadaan kekangan sumber manusia dan sistem.

Dalam usaha meningkatkan keberkesanan kawalan, JKDM turut memanfaatkan kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa tempatan serta rakan kastam antarabangsa melalui platform seperti Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO).

“Gabungan teknologi, pengurusan risiko dan kerjasama antarabangsa membolehkan kita melindungi keselamatan serta kesejahteraan negara dengan lebih tepat dan berkesan,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan aspek latihan pegawai turut diberi penekanan selaras dengan penggunaan teknologi baharu, termasuk sistem penimbasan dan kecerdasan buatan (AI).

“Setiap teknologi yang diperkenalkan akan disusuli latihan khusus kepada pegawai. Setiap tahun, pegawai Kastam akan dihantar mengikuti latihan mengikut keperluan sistem supaya mereka mempunyai kapasiti dan kemahiran mencukupi untuk mengurus serta mengoperasikannya,” katanya lagi.

Beliau berkata usaha berterusan itu penting bagi memastikan JKDM sentiasa bersedia menghadapi ancaman penyeludupan dan penyelewengan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan