fb fb fb fb fb

JKDM P. Pinang rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM220,000

Sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal, Butterworth

BUTTERWORTH, 12 Mac- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 1,186 karton dengan anggaran berat 7,818 kilogram mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM225,343 dengan jumlah cukai sebanyak RM349,282 menerusi dua operasi berasingan di Seberang Jaya dan Nibong Tebal.

Pengarah Kastam Pulau Pinang Rohaizad Ali berkata, hasil pemeriksaan serentak pada 24 Januari lepas mendapati mercun dan bunga api pelbagai jenama itu akan dijual sempena dengan Hari Raya Aidilfitri.

Hasil pemeriksaan di kawasan kilang Seberang Jaya menemukan 718 karton mercun dan bunga api seberat 1,510 kilogram yang tidak mematuhi spesifikasi permit import Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang telah membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah lagi stor di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

"Hasil pemeriksaan di dalam premis tersebut pasukan telah menjumpai sejumlah 468 karton atau kira-kira 6,308 kilogram mercun dan bunga api pelbagai jenama yang tidak mematuhi spesifikasi dan garis panduan ditetapkan dalam permit import (AP) yang dikeluarkan oleh KDN dan PDRM," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini.

Turut ditahan dua individu masing-masing seorang wanita dan lelaki berusia 50-an, dipercayai pemilik premis terlibat bagi membantu siasatan.

Menurut JKDM, mercun dan bunga api merupakan barang larangan yang hanya boleh diimport dengan lesen sah bawah Butiran 46, Bahagian I, Jadual Ketiga Perintah Larangan (Larangan Mengenai Import) 2023.

Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang larangan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara 10 hingga 20 kali nilai barang atau sehingga RM500,000 atau dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu atau sindiket terlibat dalam kegiatan tersebut.

Dalam perkembangan lain, pihaknya turut berjaya merampas minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM103,668 menerusi operasi pada 9 Januari lepas.

Pemeriksaan dijalankan di sebuah stor di Bukit Mertajam menemukan sebanyak 3,665 botol dan 13,836 tin minuman keras pelbagai jenama.

Siasatan awal mendapati stor tersebut dijadikan tempat menyimpan minuman keras tak berkastam sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI