JOHOR BAHRU, 24 Februari- Seramai 131 tahanan warga asing dari pelbagai negara, dihantar pulang ke negara asal, sepanjang minggu ini, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2, Sepang, Selangor.
Menerusi kenyataan Facebook Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Johor, mereka dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan termasuk mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Warga asing terlibat merupakan 67 tahanan warga Myanmar, 28 warga Bangladesh, 21 warga Thailand, 10 warga Pakistan, empat warga India dan seorang warga Ukraine.
Kesemuanya telah dikeluarkan dokumen perjalanan sementara untuk pulang ke negara asal oleh kedutaan negara masing-masing.
"Mereka juga disenarai hitam dalam Sistem Jabatan Imigresen dan tidak dibenarkan memasuki semula negara ini mengikut tempoh ditetapkan.
"Kos tiket penerbangan, ditanggung sepenuhnya oleh wang simpanan mereka dan sumbangan daripada ahli keluarga," menurut kenyataan tersebut.