fb fb fb fb fb

Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd dipelawa kembang perniagaan di Malaysia

Foto FB PM

SHANGHAI, 5 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd untuk mengembangkan perniagaannya di Malaysia.

Syarikat yang berpangkalan di Wilayah Wuxi Jiangsu, China itu merupakan pengeluar utama yang memiliki kepakaran menghasilkan logam super aloi selain mendapat permintaan tinggi, khususnya dalam penggunaan industri aeroangkasa, turbin gas dan industri petrokimia.

Anwar telah memanjangkan pelawaan itu selepas pertemuannya dengan pengasas syarikat tersebut, Pu Yi Long, untuk membincangkan peluang pelaburan yang berpotensi.

"Saya kagum dengan hasil kerja syarikat dalam menghasilkan aloi suhu tinggi untuk pemain aeroangkasa utama," kata Anwar selepas pertemuan selama 30 minit itu.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Jelasnya, kehadiran Jiangsu Longda di Malaysia berpotensi memperkukuh kedudukan negara sebagai antara pemain utama dalam industri aeroangkasa global, di samping melonjakkan rantaian bekalan tempatan dan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Anwar kini dalam rangka lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November selain menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ke-7 (CIIE ke-7).

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkesempatan untuk mengunjungi beberapa astaka pada ekspo berkenaan termasuk Astaka Malaysia.

Beliau turut diiringi rakan sejawatnya, Premier Li Qiang serta delegasi pemimpin utama negara yang lain.

"Selepas berakhir lawatan bersama Premier Li, saya bersama-sama menteri dan delegasi negara langsung merasmikan Astaka Malaysia yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)," kata Anwar di Facebooknya.

Astaka Malaysia menghimpunkan 16 pempamer dan 17 reruai yang mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan serta teknologi inovasi daripada syarikat Malaysia.

Ia termasuk elektrik dan elektronik (E&E), pertanian, penjagaan kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi, kandungan kreatif, perkhidmatan
perniagaan dan logistik.

"Saya turut berkesempatan merasmikan Astaka Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry Malaysia (ACCCIM), yang disertai 18 syarikat tempatan dan 31 reruai daripada industri makanan dan minuman serta perkhidmatan, sekali gus memperluas kehadiran Malaysia dan peluang kerjasama dengan syarikat negara lain," tambahnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM