
JOHOR BAHRU, 11 April – Program Jerayawara Parlimen Belia Malaysia Siri Ke-6 terus mengukuhkan peranannya sebagai platform strategik dalam memperkasa golongan belia, khususnya dalam memahami serta mendalami urusan pentadbiran negara.
- Peningkatan pendaftaran belia menunjukkan minat aktif dalam demokrasi, dengan 9,588 ahli berdaftar.
- Generasi belia semakin bersedia memimpin masa depan dan menyumbang kepada dasar negara lebih inklusif.
- Kebimbangan terhadap pengaruh luar melalui media sosial; belia perlu peka dan menilai kesahihan maklumat.
- Program mendedahkan fungsi serta tadbir urus Parlimen untuk melahirkan belia celik politik, tahan pengaruh luar, dan berintegriti.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sambutan menggalakkan jelas mencerminkan peningkatan kesedaran dan minat dalam kalangan anak muda untuk terlibat secara aktif dalam proses demokrasi, dengan jumlah pendaftaran keahlian kini mencecah 9,588 orang.
Perkembangan itu membuktikan generasi belia semakin bersedia untuk memainkan peranan sebagai pemimpin masa depan dan penyumbang kepada pembentukan dasar negara yang lebih inklusif.
“Antara perkara paling membimbangkan ialah pengaruh anasir luar dari negara lain yang memanfaatkan media sosial sehingga jarak bukan lagi penghalang untuk mempengaruhi rakyat di sesebuah negara.
“Keadaan itu menuntut supaya golongan muda lebih peka dan memahami sumber maklumat yang diterima, sama ada ia sahih serta memberi manfaat kepada pembangunan Malaysia.
“Pengaruh tidak terkawal ini juga dikhuatiri menjejaskan kestabilan negara, khususnya apabila berlaku pertukaran kerajaan yang kerap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Jerayawara Parlimen Belia Malaysia Siri Ke-6 di Kompleks Tan Sri Mohamad Rahmat, di sini pagi tadi.
Para peserta turut didedahkan dengan fungsi serta tadbir urus Parlimen dalam usaha membentuk generasi belia yang lebih celik politik, berdaya tahan terhadap pengaruh luar serta mampu menyumbang kepada kelangsungan pentadbiran negara yang stabil dan berintegriti.