KUALA LUMPUR, 10 Julai -Jepun menegaskan komitmen berterusannya bagi memperkukuh kerjasama strategik bersama ASEAN dalam bidang transformasi hijau dan transformasi digital.
Menteri Luar Jepun Iwaya Takeshi berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha bersama ke arah kemakmuran serantau yang mampan dan inklusif.
Katanya, kerjasama tersebut termasuk pembangunan dasar, infrastruktur dan modal insan sekali gus meletakkan ASEAN sebagai rakan utama dalam merealisasikan konsep Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka (FOIP).
"ASEAN adalah pemacu utama kepada pertumbuhan global dan kunci untuk memastikan keamanan serta kemakmuran serantau,"katanya dalam Mesyuarat Pasca Menteri ASEAN bersama Jepun bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-58, di sini.
Beliau turut menekankan bahawa Jepun menyokong penuh pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045 dan akan terus menghormati prinsip kesatuan serta sentraliti ASEAN dalam semua bentuk kerjasama dua hala dan pelbagai hala.
Mengulas hubungan dua hala, Iwaya menyifatkan kerjasama ASEAN-Jepun kini berada di tahap baharu selepas lebih lima dekad terjalinnya hubungan erat antara kedua-dua pihak.
"Daripada lebih 80 peratus pelaksanaan Rancangan Tindakan Visi Bersama ASEAN-Jepun 2023, beliau berkata banyak projek telah berjaya dijayakan termasuk dalam bidang pendidikan, pertukaran belia, pembangunan infrastruktur dan kerjasama bencana," katanya.