fb fb fb fb fb

Jemput Profesor pro-Israel, UM mohon maaf

Foto Hiasan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 April-Universiti Malaya (UM) telah mengambil tindakan serta merta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah jemputan warga asing, Bruce Gilley.

UM dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya sedang menyiapkan laporan lengkap berhubung isu berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam isu tersebut.

Tambah kenyataan tersebut, UM turut memandang serius perkara itu dan memohon maaf kepada semua pihak.

"UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial.

"UM turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia. Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia", katanya.

Terdahulu, tindakan UM menjemput Bruce Gilley yang merupakan Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, Amerika Syarikat menerima kecaman ramai selepas ucapan beliau yang memperkecilkan hubungan Malaysia dengan AS.

Susulan insiden berkenaan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah mengarahkan Universiti Malaya (UM) untuk menyiasat perkara berkenaan serta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang membabitkan Gilley.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD