KUALA LUMPUR, 22 Mei- Program Jelajah Saya Digital 2.0 berupaya memperkasakan penggunaan teknologi digital dalam kalangan masyarakat secara proaktif.
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh berkata ia selaras dengan usaha kerajaan dalam memacu transformasi digital negara bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat di bandar dan luar bandar.
Beliau berkata siri jelajah itu juga memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu program Saya Digital Literasi, perniagaan, pendapatan dan modal insan.
Program tersebut akan diteruskan ke Kota Bharu, Kelantan pada 24 dan 25 Mei, bertempat di AEON Mall, bermula pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
"Kalau di Kota Bharu, kita tahu maksudnya kita nak orang usahawan, usahawan ini ramai di Kelantan, Kota Bharu ini hebat semuanya, usahawan belaka. Maknanya kita nak supaya mereka ini memanfaatkan platform digital.
"Bagi kami, sasaran kita itu adalah kita nak ke arah Malaysia sebagai hab digital ASEAN, maknanya kita perlu mengatasi negara-negara ASEAN seperti Singapura, Vietnam atau Indonesia supaya dengan itu orang datang ke Malaysia untuk melabur", katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.
Pelbagai program serta aktiviti menarik akan diadakan seperti 'Tips Menjadi Penjual TikTok Shop Pro, Sesi Perkongsian Rahsia Kejayaan Bisnes dan Sesi Perkongsian Mengelak Scam'.