KUCHING, 29 Jun – Bahagian Media Digital Interaktif (MDI) Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus komited dalam memperkenalkan dan mempromosikan aplikasi RTM Klik kepada orang ramai menerusi penganjuran Jelajah RTM Klik yang berlangsung di beberapa lokasi terpilih di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Ketua Penolong Pengarah MDI, Niswani Awang berkata inisiatif jelajah itu bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan aplikasi RTM Klik yang menyediakan akses mudah kepada saluran-saluran televisyen dan radio kendalian RTM.
“Kami ingin menambah jumlah pengguna aplikasi RTM Klik agar memudahkan orang ramai menonton saluran TV serta mendengar saluran radio RTM. Jelajah di Sarawak ini merupakan lokasi kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di lokasi program Jelajah RTM Klik yang diadakan di Kubah Ria Satok, di sini.
Menurut beliau, buat masa ini, program jelajah akan terus dilaksanakan di bandar-bandar utama, manakala perancangan lokasi seterusnya akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Jelajah RTM Klik di Sarawak dimulakan pada Sabtu, melibatkan lokasi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan sebuah pusat beli-belah di Samarahan.
Pada hari kedua pula, program diteruskan di Medan Niaga Satok dan Kubah Ria.
Pelbagai aktiviti interaktif dan hiburan turut memeriahkan jelajah ini, antaranya persembahan buskers, sesi interaktif bersama penyampai radio RTM Sarawak, kuiz, serta sesi karaoke terbuka kepada pengunjung.