Jelajah Ramadan RTM 2026 satukan radio, televisyen dan digital

Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop.

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Jelajah Ramadan RTM 2026 akan tampil sebagai gerakan kebersamaan nasional yang menghimpunkan suara penyiaran, kebajikan dan komuniti yang menggangkat tema Satu Suara, Satu Jiwa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jelajah Ramadan RTM 2026 satukan radio, televisyen dan kandungan digital sepanjang Ramadan.
  • Program merentasi enam zon, 14 negeri dengan 34 personaliti dan 20 kenderaan jelajah selama 20 hari.
  • Aktiviti kebajikan termasuk makanan berbuka, sumbangan kepada golongan memerlukan, tazkirah dan ceramah ringkas.
  • RTM hasilkan kapsul eksklusif, liputan harian dan lagu rasmi "Meniti Ramadan" untuk semarakkan semangat kebersamaan.

Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop berkata, jelajah tahun ini bukan sekadar bersifat siaran, namun menjadi gerakan menyeluruh yang menyatukan pengisian radio, televisyen serta kandungan digital sepanjang bulan Ramadan.

Ia akan merentasi enam zon melibatkan 14 negeri, dengan penyertaan 34 personaliti radio RTM yang bergerak menggunakan 20 kenderaan jelajah selama 20 hari.

“Jelajah ini disusun secara teratur bersama rakan penaja utama Babas serta rakan penaja strategik lain bagi memastikan pelaksanaannya memberi impak langsung kepada masyarakat setempat,” katanya.

Jelajah Ramadan RTM 2026 akan bermula pada 16 Februari di Johor Bahru, Johor dan berakhir pada 8 Mac di Sibu, Sarawak.

Selain aktiviti lapangan, pengisian jelajah turut diperluaskan menerusi sorotan harian dalam program Selamat Pagi Malaysia, liputan berita, temu bual radio di setiap negeri serta penghasilan kapsul dan cerita eksklusif untuk media sosial dan media baharu.

Sebagai pelengkap, RTM turut memperkenalkan lagu rasmi pertama Jelajah Ramadan berjudul Meniti Ramadan yang diterbitkan khas bagi menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang program itu berlangsung.

Dari sudut pengisian, setiap zon akan menampilkan program berbentuk kebajikan termasuk penyediaan makanan berbuka puasa bersama penaja utama, penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan, selain tazkirah dan ceramah ringkas.

Jelajah Ramadan RTM 2026 menjadi antara inisiatif penyiaran terbesar RTM dalam menghubungkan rakyat melalui pendekatan inklusif, berjiwa komuniti dan berteraskan nilai Ramadan.