HULU TERENGGANU, 10 Mac- Majlis Pelancaran Jelajah Ramadan RTM 2024 yang ke-12 memilih Terengganu sebagai lokasi pelancaran program itu yang turut melibatkan 34 stesen radio RTM seluruh negara.
Keunikan negeri itu dalam bidang pelancongan dan kebudayaan menjadi pendorong pemilihan lokasi pelancaran program berkenaan kali ini.
Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, skuad jelajah itu akan meneruskan perjalanan ke Kelantan sebelum berakhir di Johor pada 30 Mac depan.
"Sebenarnya ada banyak aktiviti, yang paling penting kita mendekati bukan sahaja pendengar berbilang kaum, kita melihat kehidupan mereka dan belajar ilmu baru supaya kita juga boleh memperbaiki penyiaran dan kandungan.
"Supaya kita dapat memenuhi hasrat dan pendengar kita. Apa yang mereka mahukan dan setidaknya akan meninggalkan kesan positif supaya menjadi insan berguna dalam sebuah bangsa yang hebat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan gimik perasmian dan pelepasan skuad jelajah Ramadan 2024 edisi ke-12 ke lokasi kedua iaitu ke Kelantan.
Jelajah kali ini disertai 10 kenderaan dengan 15 kru akan menjelajah ke semua 34 stesen radio RTM.
Penganjuran merupakan inisiatif RTM bagi mendekati rakyat, selain berusaha memastikan semua golongan dapat menikmati rancangan yang disediakan menerusi siaran televisyen dan radio dengan jelas dan berkualiti.
Dalam pada itu hampir 100 penerima bantuan menerima sumbangan keperluan harian dan wang tunai menerusi Program Ahlan Wa Sahlan Jelajah Ramadan di sini.
Golongan sasar itu termasuk anak yatim, Ibu tunggal, Pusat Tahfiz dan Mualaf.
Pengarah Jabatan Penyiaran Terengganu Sabri Mansor berkata, jelajah itu adalah platform terbaik mendekati lebih ramai komuniti setempat terutama di kawasan luar Bandar sekali gus mendekati golongan sasar terutama mereka yang kurang berkemampuan.
"Kita juga dapat kehadiran daripada orang ramai yang sangat menggalakkan dan saya difahamkan jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) habis. Jadi itulah antara kejayaan manis buat saya sebagai penganjur untuk Majlis Pelancaran Jelajah Ramadan RTM 2024 ke-12," katanya.