KUALA LUMPUR, 20 Januari – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi tumpuan kepada lima aspek utama sebagai strategi awal kesiapsiagaan menghadapi insiden kecemasan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata lima aspek tersebut ialah pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan, pemantauan berterusan, dan kolaborasi strategik.
Langkah itu bertujuan meminimumkan risiko keselamatan, termasuk kebakaran, aktiviti air, dan keselamatan jalan raya.
"Dari segi kesiapsiagaan, semua anggota bomba telah dikerahkan untuk bersiap siaga bagi memastikan masa tindak balas (response time) kekal tepat pada KPI iaitu kurang daripada 10 minit. Kini, purata masa tindak balas adalah sekitar 8 minit," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan sempena Tahun Baharu Cina - Ops Siaga Raya di ibu negara.
Kor Ming turut memaklumkan penglibatan pasukan bomba sukarela sebagai sokongan tambahan sepanjang musim perayaan.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata bagi memastikan kekuatan pasukan mencukupi, cuti kira-kira 12,000 pegawai dan anggota JBPM telah dibekukan sepanjang musim perayaan.
"Kita mempunyai lebih 15,000 anggota, dan 70 peratus cuti telah dibekukan untuk memastikan kesiapsiagaan.
"Selain itu, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM220 juta bagi perolehan aset baharu, memperkukuh keupayaan JBPM dalam melaksanakan tugas mereka," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming memaklumkan JBPM juga akan menerima tiga buah helikopter baharu jenis Agusta Westland (AW139) menjelang tahun hadapan.
Helikopter tersebut akan memperhebatkan misi menyelamat di kawasan pedalaman yang menghadapi cabaran logistik.
"Helikopter ini akan membantu misi penyelamatan di kawasan yang sukar diakses. Pelaksanaan bergantung kepada jadual pengeluar, namun keutamaan diberikan kepada JBPM," katanya.