JBPM Pahang tempatkan pasukan di lokasi strategik bersempena Aidilfitri

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (kiri) melepas konvoi penyelamat sejurus melancarkan Siap Siaga Raya Tahun 2026 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang / BERNAMA

KUANTAN, 9 Mac– Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik sepanjang lebuh raya utama di negeri itu bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif operasi Siap Siaga Raya dijalankan bermula 19 hingga 24 Mac.
  • Langkah ini bertujuan meningkatkan masa tindak balas pasukan penyelamat semasa kecemasan.
  • Penempatan khas disasarkan di RNR Temerloh, RNR Gambang dan RNR Genting Sempah sebagai titik respons pantas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, inisiatif itu akan bermula dari 19 hingga 24 Mac depan.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan masa tindak balas pasukan penyelamat dapat dipertingkatkan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

“Untuk meningkatkan kecekapan respons kecemasan, jentera dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang juga akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik sepanjang lebuh raya utama.

“Khususnya di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Temerloh, RNR Gambang dan RNR Genting Sempah, iaitu ketika kemuncak perjalanan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Bersempena Siap Siaga Raya 2026 Peringkat Negeri Pahang di Padang MBK 1, Kuantan.

Pada majlis tersebut, beliau melaksanakan gimik pemeriksaan keselamatan kebakaran di sebuah hotel sebagai simbolik kepada pelaksanaan pasukan Petugas Khas Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) Ops Siaga Raya 2026 oleh JBPM Pahang yang berlangsung bermula 19 Februari hingga 3 April 2026.

Selain itu, konvoi jentera bomba turut dilancarkan sebagai simbolik kepada kesiapsiagaan operasi JBPM Pahang sepanjang musim Ops Siaga Raya 2026.