fb fb fb fb fb

JBPM lancar MTL Red Team hadapi banjir

PUTRAJAYA, 28 Oktober - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan Pasukan Gerak Cepat (Red Team) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata penubuhan MTL Red Team bertujuan memantapkan lagi persiapan serta persediaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan secara lebih efisyen.

Katanya, JBPM akan menempatkan pasukan berkenaan di 11 negeri seperti Selangor, Kelantan, Terengganu dan Kedah selain di dua Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) melibatkan Wilayah Tengah serta Wilayah Utara.

(Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid)

“Seramai 253 anggota, 58 unit bot, 41 unit kenderaan utiliti dan 33 lori akan bersedia pada setiap hari di lokasi yang ditetapkan oleh JBPM negeri. Kita ada norma tertentu yang telah kita tetapkan berapa ramai dalam satu pasukan dan juga aset-aset yang minima untuk penugasan pantas supaya jika berlaku banjir di kawasan yang balai tidak boleh menghantar bantuan," Katanya selepas melancarkan MTL Red Team, di sini.

Tambah Hamdan, pasukan itu turut dianggotai seorang anggota pasukan khas Emergency Medical Response Services (EMRS) dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bagi memastikan operasi penyelamatan berada pada tahap optimum.

“Penubuhan pasukan itu merupakan penambahbaikan kepada Regional Forward Base (RFB) yang sebelum ini ditempatkan di tiga lokasi iaitu ABPM Wilayah Timur, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, Pulau Pinang dan BBP Ayer Hitam, Johor.

“Pasukan berkenaan akan bertugas mengikut syif yang ditetapkan dengan masa pusingan tugas sesuatu operasi banjir selama lima hari termasuk perjalanan pergi dan balik,” katanya.

Media Baharu