KUALA LUMPUR, 28 Mac- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melancarkan program Akademi Al-Quran Wilayah Persekutuan (AQWA) bagi melahirkan lebih ramai qari dan qariah yang berkualiti pada masa hadapan.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, program cetusan idea Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Moktar ini adalah bagi mencungkil bakat baharu dalam Majlis Tilawah Al-Quran, khususnya di Wilayah Persekutuan.
"Akademi Al-Quran yang kita lancarkan ini buat peringkat awalnya akan melibatkan peserta-peserta terpilih yang kita pilih dulu dari kalangan peminat Al-quran di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan juga Labuan dimana mereka akan dilatih beberapa fasa.
"Harapan kami ialah mereka ini akan dapat meningkatkan mutu bacaan mutu tajwid, mutu taranum dan juga fasohahnya dengan satu harapan mereka ini akan menjadi wakil yang terbaik mewakili wilayah persekutuan di peringkat kebangsaan," katanya dalam Program Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan dan Pelancaran Akademi Al-Quran Wilayah Persekutuan (AQWA) di Masjid Wilayah Persekutuan.
Menurut Mohd Ajib, kelas pengajian AQWA ini akan berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan pada setiap hari Sabtu, setiap minggu selama sembilan jam.
Seramai 31 orang qari dan qariah yang telah melalui saringan tilawah al-Quran telah dipilih menyertai AQWA bagi kumpulan pengajian pertama.
Mereka akan dibimbing oleh tujuh orang tenaga pengajar yang merupakan pensyarah dalam bidang taranum serta mantan johan qari dan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Selain menyediakan kemudahan pengajian secara percuma, saguhati menghadiri kelas juga disediakan buat para pelajar.
Program itu juga akan melalui tiga peringkat dan akan dibuka kepada orang ramai serta pelajar sekolah bawah kendalian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan juga JAWI.