KUCHING, 3 Disember - Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 pada Januari tahun depan akan membincangkan perkara-perkara berkaitan penurunan kuasa autonomi bidang Pendidikan dan Kesihatan kepada Sarawak dan Sabah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Ia melibatkan pengurusan kuasa tadbir dalam kedua-dua bidang itu agar dapat diserap kepada kerajaan negeri mahupun jabatan-jabatan di peringkat negeri.
"Ada beberapa perkara lagi yang belum selesai, yang sedang dibincangkan oleh jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kerja.
"Satunya adalah bidang kesihatan, kedua bidang pendidikan, dan perkara ini akan dibentangkan kepada jawatankuasa.
"Jadi disitulah peranan kami untuk mencari penyelesaian dan seterusnya membawa kepada jawatankuasa pelaksanaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di mana ketua menteri dan juga Premier berada dalam jawatankuasa majlis tersebut", kata Fadillah kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Penutupan Program Promosi Kemahiran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Parlimen Petra Jaya di Sekolah Menengah Agama Tun Ahmad Zaidi di sini pada Sabtu.
Sementara itu menurut Fadillah, mesyuarat jawatankuasa itu dijadualkan pada 5 Disember ini, namun terpaksa ditunda susulan ramai menteri persekutuan termasuk dari Sabah dan Sarawak terlibat dalam Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP28) Expo City, Dubai, Emiriah Arab Bersatu di Dubai.
“Insya-Allah mesyuarat bakal diadakan pada Januari kelak namun tarikh belum dimuktamadkan kerana kita perlu berbincang bersama-sama menteri-menteri yang lain terlebih dahulu,” katanya.