fb fb fb fb fb

Jawatankuasa Protem diyakini dapat menyumbang kepada penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC

Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia, Datuk Mary Lim Thiam Suan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Protem bagi Mahkamah Timbang Tara AIAC

KUALA LUMPUR, 1 Jun- Satu Jawatankuasa Protem telah dibentuk bagi merealisasikan hasrat penubuhan Mahkamah Timbang Tara, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) (AIAC).

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa Protem telah diberikan mandat bagi menerajui penubuhan AIAC, termasuk penelitian mekanisme, protokol dan rangka kerja pengoperasian secara efektif kelak.

Jawatankuasa tersebut turut berperanan untuk menerapkan elemen ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran sebagai badan pembuat keputusan kes-kes yang dirujuk ke AIAC.

Pengerusi dan 16 orang ahli Jawatankuasa ini telah dilantik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said.

Pengerusi ialah mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia, Datuk Mary Lim Thiam Suan manakala 16 ahli merupakan jawatankuasa yang berpengalaman luas, berkredibiliti dan terkemuka dalam bidang perundangan dan Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Penubuhan Jawatankuasa Protem juga diyakini dapat menyumbang secara konstruktif kepada penubuhan AIAC.

Selaras dengan usaha Kerajaan meminda undang-undang yang relevan termasuk Akta Timbang Tara 2005 [Akta 646] yang sedang dimuktamadkan dan dijangka akan dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang.

Pelaksanaan inistiatif-inisiatif baharu ini juga bagi memperkukuh kedudukan AIAC sebagai institusi timbang tara antarabangsa yang bebas di bawah naungan Asian- African Legal Consultative Organization (AALCO) sekali gus mempromosikan Malaysia sebagai pilihan utama tempat penyelesaian timbang tara ADR secara keseluruhan di peringkat domestik dan antarabangsa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE