fb fb fb fb fb

Jawatankuasa Khas ditubuh kaji kompetensi DUN gubal Undang-Undang Islam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

PUTRAJAYA, 29 Disember - Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam telah ditubuhkan dan Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas telah berlangsung pada 5 Disember lalu.

Dalam satu kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan, jawatankuasa itu ditubuhkan untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Jawatankuasa khas tersebut dipengerusikan Mantan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dan turut dianggotai anggota lain yang terdiri daripada mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, wakil Majlis Agama Islam Negeri, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Mahkamah Syariah, ahli akademik dan pengamal undang-undang.

"Kesemua anggota yang dilantik masing-masing mempunyai kepakaran dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sivil dan undang-undang syariah dan berkelayakan untuk membuat kajian, memberikan pandangan dan juga memberikan sumbang saran.

"Setelah kajian ini siap, hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja," menurut Dr Mohd Na'im dalam kenyataan itu.

Katanya, cadangan berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas seperti yang dikemukakan Ahli Parlimen Beruas adalah tidak berasas sama sekali.

Menurut Dr Mohd Na'im, perkara-perkara dasar pentadbiran hal ehwal Islam termasuk isu-isu dasar perundangan dan kehakiman syariah yang melibatkan urusan umat Islam, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa terlebih dahulu merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Ketika ini, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dipengerusikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selain merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri.

"Semua pihak diseru supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang kegelisahan awam dan perlu memberikan sepenuh keyakinan serta ruang kepada Jawatankuasa Khas untuk menjalankan peranannya dengan penuh profesional dan berkesan," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF