fb fb fb fb fb

Jawatankuasa bencana Limbang diaktifkan, penduduk dinasihat waspada

APM Limbang meninjau ke kawasan kampung yang berisiko banjir di Limbang/Foto Facebook APM Limbang

LIMBANG, 30 Januari – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Limbang telah diaktifkan sebagai langkah siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana, terutama banjir berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, berkata walaupun tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini, pihak berkuasa sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya yakin jawatankuasa bencana sudah bersiap sedia. Kita menasihati penduduk agar berhati-hati kerana pelbagai keadaan boleh berlaku.

"Ibu bapa juga diingatkan supaya tidak membiarkan anak-anak bermain atau meredah banjir bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui media dalam kunjungan Tahun Baharu Cina di kediaman Temenggong Leong Boong Meng di sini hari ini.

Beliau turut menasihati penduduk agar lebih berwaspada terhadap ancaman hidupan liar, khususnya populasi buaya yang meningkat dan boleh mendatangkan bahaya ketika banjir.

Katanya, penduduk yang memerlukan bantuan diminta segera menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Limbang bagi mendapatkan pertolongan.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Limbang menjalankan pemantauan di beberapa kampung berisiko banjir susulan hujan lebat berterusan sejak 27 Januari lalu.

Antara lokasi terjejas ialah Kampung Telahak, Kampung Pengkalan Madang, Kampung Medait dan Kampung Pengkalan Jawa, dengan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

Hasil pemantauan mendapati air naik ½ kaki di Kampung Telahak dan Kampung Medait, manakala di Kampung Pengkalan Madang dan Kampung Pengkalan Jawa, jalan utama dinaiki air antara 1 hingga 2 kaki, menyebabkan kenderaan tidak dapat melalui laluan tersebut.

Trend air di beberapa lokasi menunjukkan penurunan, namun penduduk dinasihati supaya terus berwaspada dan bersedia berpindah jika keadaan bertambah buruk.

Sepanjang pemantauan dilakukan, tiada insiden bencana atau kecemasan dilaporkan.

GRACE AISYAH KEDAYAN