PUTRAJAYA, 8 Februari- Beberapa jawatankuasa akan ditubuhkan bagi membantu memantau pelaksanaan 62 program yang telah di bentuk di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan itu tidak hanya menjurus kepada pencapaian matlamat dan objektif program, malah memastikan penganjurannya dilaksana dengan penuh etika, beramanah dan bertanggungjawab.
"Saya ingin mengajak kita semua bersama-sama saya untuk melaksanakan amanah sebagai peneraju pembangunan desa ini.
"Saya mahu bulan Julai nanti, kita adakan semakan semula pelaksanaan 62 program yang telah saya sebutkan tadi. Saya mahu apa yang kita fikir tidak hanya tersemat di dalam minda, tetapi kita perlu memastikan proses pelaksanaan itu dibuat sebaiknya. Dari situ, kita dapat menyusun semula keutamaan program agar lebih memberi impak kepada rakyat", katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya.
62 program tersebut dibentuk ketika Program Pemukiman KKDW baru-baru ini melibatkan penglibatan dan idea pelbagai peringkat dalam kalangan pegawai kanan Kementerian dan ahli akademik.