fb fb fb fb fb

JAS Kedah ambil tindakan terhadap kuari batu Kampung Padang

Foto RTM

BANDAR BAHARU, 3 Ogos- Jabatan Alam sekitar Kedah telah mengambil tindakan terhadap sebuah kuari di Kampung Padang, Mukim Sungai Kechil di sini yang disyaki menyebabkan pencemaran udara semalam (Jumaat).

Tindakan berbentuk amaran itu diambil susulan laporan oleh sebuah badan bukan kerajaan pada Rabu lepas berkaitan aduan aktiviti kuari di kampung berkenaan melanggar beberapa syarat kelulusan laporan impak alam sekitar (EIA).

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam kenyataan berkata berikutan aduan yang dikemukakan oleh Sahabat Alam Malaysia itu, JAS Kedah telah menjalankan siasatan susulan di tapak kuari tersebut.

“Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi kuari Mukim Sungai Kechil yang telah diluluskan pada 7 Ogos 2017 itu mendapati ia mematuhi zon penampan minimum iaitu sekurang-kurangnya 500 meter ke receptor sensitif seperti kediaman.

“Sejak kelulusan diberi, JAS Kedah telah melakukan penguatkuasaan berkala ke atas kuari itu dan berdasarkan rekod, kuari itu didapati patuh kepada syarat EIA pada pemeriksaan yang dijalankan Januari lepas,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata pemeriksaan lanjut terhadap syarat-syarat kelulusan EIA secara keseluruhan mendapati terdapat beberapa pelanggaran syarat kelulusan EIA oleh penggerak projek.

Beliau berkata arahan di lapangan telah dikeluarkan semasa lawatan semalam kepada penggerak projek dan ia akan disusuli dengan notis arahan di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 sekiranya gagal mematuhi notis dalam tempoh ditetapkan.

“Penggerak projek juga boleh dikenakan tindakan lanjut termasuk arahan berhenti kerja serta tindakan perundangan di bawah Seksyen 34A(7) akta yang sama. Penggerak projek perlu melaksanakan langkah pembetulan dan kuari akan diperiksa semula,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD