fb fb fb fb fb

JAS arah pemilik tanah di Bukit Pelanduk buat pembersihan

Sisa dipercayai bahan kimia dibuang di Bukit Pelanduk, Port Dickson

SEREMBAN, 26 Oktober- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan telah mengarahkan pemilik tanah di Bukit Pelandok, Port Dickson membuat pembersihan di kawasan berkenaan berikutan ia menjadi lokasi pembuangan sisa dipercayai bahan kimia.

Menurut Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S.Veerapan, siasatan masih dijalankan termasuk mengenalpasti kandungan cecair yang dibuang oleh pihak tidak bertanggjawab dan dipercayai menjalankan aktiviti itu sejak tiga bulan lalu.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pemilik tanah supaya sentiasa peka dengan keadaan kawasan premis masing–masing supaya tidak berlakunya aktiviti sedemikian.

"Jadi kita akan seru kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya pasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat-tempat strategik supaya kita dapat memastikan keselamatan.

"Sama ada bagi mengelakkan pembuangan haram di tempat-tempat yang terlindung daripada jauh daripada manusia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ozon Sedunia peringkat Negeri Sembilan 2024 dan Penangguhan Operasi Bersepadu Kenderaan Bermotor di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban di sini.

Sebelum ini media melaporkan, pelbagai tong mengandungi cecair dipercayai sisa kimia dibuang pihak tidak bertanggungjawab di kawasan ladang sawit milik penduduk di Bukit Pelandok, Port Dickson.

Ia mengakibatkan pencemaran bau sejauh satu kilometer.

Sehingga 31 September lalu, JAS Negeri Sembilan telah melaksanakan 31 operasi bersepadu bersama- sama agensi lain melibatkan 78 kompaun dikeluarkan kepada pemilik kenderaan diesel dengan nilai keseluruhan RM156,000.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI