fb fb fb fb fb

Fahmi mahu hebahan bantuan Belanjawan 2025 dipermudah

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Informasi dan maklumat berhubung bantuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 perlu disampaikan secara terus kepada rakyat.

Sehubungan itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mahu Jabatan Penerangan (JAPEN) dan Komuniti MADANI memainkan peranan dalam memperkasa hebahan mengenai perkara tersebut termasuk penggunaan bahasa yang mudah difahami.

"Apa yang kita usahakan melalui jentera JAPEN dan Komuniti MADANI ialah mempermudahkan bahasa untuk semua bantuan yang disediakan dalam Belanjawan 2025. Ini bagi memastikan sesiapa yang menghadapi kesulitan dalam memohon bantuan akan menerima panduan secukupnya. Fokus Belanjawan 2025 adalah untuk mensejahterakan rakyat, menaikkan gaji dan menangani kos sara hidup," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ditemui pemberita selepas majlis Fiesta Deepavali peringkat parlimen itu yang berlangsung di Pantai Dalam di sini malam ini.

Dalam pada itu, isu pendidikan akan terus diberi perhatian khususnya melibatkan komuniti India di Lembah Pantai.

Fahmi menyifatkan inisiatif berkenaan penting bagi memastikan lebih ramai anak-anak daripada komuniti tersebut mendapat peluang pendidikan yang sebaiknya.

"Isu-isu yang dihadapi termasuk oleh komuniti India di Lembah Pantai perlu ditangani untuk memastikan bukan sahaja keluarga-keluarga di sini menikmati kemudahan, tetapi juga dalam aspek kebajikan, tiada yang ketinggalan.

"Salah satu isu yang sering saya perhatikan ialah pendidikan, dan saya akan berusaha memastikan beberapa sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bangsar yang mempunyai bilangan murid rendah... diberi perhatian. Kami akan membantu ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut... tetapi menghadapi kesukaran menanggung kos pendidikan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu capaian internet dan kemudahan makmal komputer akan diberi perhatian sewajarnya.

Pada majlis tersebut, Fahmi turut menyampaikan sumbangan berupa baucar membeli-belah bernilai RM100 kepada hampir 1,000 penduduk komuniti India bersempena Deepavali.

SITI AISHAH MD ISA