
SERI MENANTI, 7 Ogos – Kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Negeri Sembilan yang baharu dilantik diingatkan supaya tidak sesekali menyalahguna kuasa khususnya melibatkan keputusan berkaitan pemberian tender atau projek kerajaan.
- Bersikap jujur, adil dan profesional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.
- Jangan menyalahguna kuasa untuk kepentingan peribadi, keluarga atau sahabat ketika pemberian tender atau projek.
- Laksanakan dasar dan perancangan secara cekap, telus dan berkesan demi manfaat rakyat.
- Teruskan kecemerlangan pentadbiran menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan hasil negeri serta mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah setiap ahli majlis perlu bersikap jujur, adil dan profesional sepanjang menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Titah Baginda lagi, Negeri Sembilan memerlukan pemimpin yang mempunyai pendirian tegas dan berintegriti kerana penyalahgunaan kuasa serta kedudukan boleh menjurus kepada ketidakadilan, sekali gus menjejaskan pelaksanaan dasar yang dirangka demi manfaat kepada rakyat.
“Jangan sesekali menyalahguna kuasa yang diberikan untuk kepentingan peribadi, keluarga mahupun sahabat handai terutamanya dalam membuat keputusan pemberian tender atau projek kerajaan.
“Seperti yang pernah dititah dahulu, negara amat memerlukan pemimpin yang berpendirian tegas atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Persons of Honour,” titah Baginda.
Tuanku Muhriz dalam titahnya turut mengingatkan bahawa rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap kerajaan negeri.
Justeru titah Baginda, setiap dasar dan perancangan perlu dilaksanakan secara cekap, telus serta berkesan.
“Kejayaan sesebuah kerajaan bukan hanya diukur menerusi perancangan yang baik sebaliknya melalui keupayaan menyampaikan hasil yang benar-benar dapat dirasai rakyat,” titah Baginda lagi.
Selain itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan turut bertitah supaya kecemerlangan pentadbiran terdahulu dalam menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan hasil negeri serta mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan diteruskan serta dipertingkatkan.
Terdahulu, seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Negeri Sembilan mengangkat sumpah jawatan hari ini bagi melengkapkan barisan pentadbiran kerajaan negeri.
Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Besar Seri Menanti, di sini.