NIBONG TEBAL, 6 Jun- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta semua pihak tidak mempolitikkan cadangan yang disuarakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dua buah Sekolah Jenis Kebangsaan di Pulau Pinang mengenai Program Dwibahasa (DLP) dalam Sains serta Matematik di sekolah baru-baru ini.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan membidas beberapa pihak yang membuat persepsi tidak benar mengenai perkara itu.
"Yang mereka sampaikan adalah cadangan, pandangan dan bantahan mereka supaya sekolah-sekolah diteruskan dalam Bahasa Inggeris, itu yang mereka maksudkan.
"Saya tidak mahu lihat ada pihak yang menangguk di air yang keruh yang cuba mempolitikkan apa yang disampaikan sebenarnya.
"Berdasarkan laporan yang kita lakukan pagi tadi ada beberapa pihak memberikan kata-kata rasis, mengambil kesempatan dan membuat tohmahan yang tidak baik dan boleh menggugat keharmonian pelbagai kaum di Malaysia," katanya.
Fahmi berkata demikian ketika mengulas bekenaan cadangan dan pandangan Lembaga Sekolah serta PIBG daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang berkenaan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
DLP mensyaratkan satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Bagaimanapun Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan timbalannya, Wong Kah Woh akan meneliti perkara itu dan bertemu dengan PIBG berkenaan untuk menyelesaikan ia dengan baik.
Pada masa sama Fahmi juga telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meneliti serta mengambil tindakan segera berkenaan komen yang menyentuh isu sensitif kaum, agama dan raja (3R) di media sosial.