LANGKAWI, 4 Julai - Sebuah jambatan berharga RM89 juta akan dibina untuk menghubungkan Pulau Tuba dengan Pulau Dayang Bunting pada tahun depan.
Kewujudan jambatan baharu itu akan memudahkan pergerakan lebih 5,000 penduduk di kedua-dua pulau tersebut.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, jambatan berkenaan bakal mempunyai dua lorong berbanding jambatan sedia ada yang hanya mempunyai satu lorong.
"Jadi kenderaan nanti boleh melalui dan dia ada dua lorong kiri dan kanan, supaya van besar dan lori boleh melalui jambatan itu. Kemudahan itu memanfaatkan kira-kira 5,000 penduduk Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting. Ia merupakan usaha kerajaan bagi memastikan sektor pelancongan di Pulau Langkawi terus meriah dan diperhebatkan."
Beliau ditemui media selepas membuat tinjauan ke tapak jambatan baharu di Pulau Tuba di sini, hari ini.
Jambatan yang merentasi Selat Bagan Nyiur itu masih berstatus di peringkat perolehan.
Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada pertengahan tahun depan.
Panjang keseluruhan jambatan baharu itu ialah 1.04 kilometer merangkumi jambatan sepanjang 380 meter dan 660 meter lagi jalan penghubung jambatan.
Menurut Ahmad Maslan, skop kerja projek berkenaan melibatkan kerja geoteknik, pemasangan perabot jalan, pemasangan lampu jalan, kerja berkaitan alam sekitar dan pengambilan tanah.
Jambatan tersebut dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.