GUA MUSANG, 18 Jun- Kira-kira 5,000 penduduk dari Kampung Jerek, Gua Musang ke Kampung Ingin Maju, Dabong, Kuala Krai, terpaksa bergadai nyawa setiap hari apabila satu-satunya laluan utama yang digunakan sejak hampir setahun lalu rosak teruk dan berbahaya.
Keadaan jalan berlubang, retak serta tidak rata itu bukan sahaja menyukarkan pergerakan harian, malah telah mengakibatkan banyak kemalangan terutama kepada penunggang motosikal serta kerosakan kenderaan.
Antara yang terjejas termasuk penduduk Kampung Jerek, Bertam Lama, Kampung Jelekang dan Kampung Ingin Maju, yang menyifatkan laluan itu sebagai ‘perangkap maut’.
Penduduk mendakwa, laluan berkenaan menjadi lebih teruk apabila digunakan lebih 100 buah lori setiap hari yang membawa muatan batu dan bahan binaan untuk dua projek pembangunan aktif di kawasan Dabong, Kuala Krai.
Seorang penduduk Kampung Ingin Maju, Mohd Farrez Haqimee Mohamad Asri berkata, jalan yang sempit dan rosak menyukarkan pergerakan terutamanya ketika waktu puncak dan pada waktu malam.
“Dengan keadaan jalan sekarang, pengguna nak hantar anak sekolah pun susah. Kena berhenti tepi bila nak berselisih dengan kereta. Waktu malam lebih bahaya sebab tak ada kon, tak ada lampu. Pernah sampai bumper pecah, kereta terbalik,” katanya.
Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail pula menyuarakan kebimbangan terhadap pergerakan lori yang beroperasi secara berleluasa.
“Hari Jumaat dan Sabtu, kita perhatikan banyak lori buat kerja. Saya harap pihak penguat kuasa seperti pejabat tanah dan JPJ pantau perkara ini. Nampak macam mereka tak takut undang-undang. Rakyat kampung yang tanggung beban,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memaklumkan, isu jalan rosak ini telah dibangkitkan dalam sidang DUN Kelantan baru-baru ini namun masih belum ada penyelesaian konkrit.
“Untuk jangka pendek, kita akan hubungi ketua jajahan dan mohon penubuhan jawatankuasa khas untuk panggil semua pihak terlibat. Kita tak mahu isu ini berlarutan.
“Untuk jangka panjang, perlu ada perancangan rapi memandangkan projek mini hidro yang sedang berjalan ini ambil masa dua hingga tiga tahun, dan sekarang baru masuk tahun pertama. Jadi, pelan tindakan terperinci perlu dilaksanakan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir. Nik Soh Yaacoub mengesahkan pihaknya telah menerima aduan dan akan turun ke lokasi untuk membuat semakan serta pelaporan lanjut.
Namun begitu, beliau memaklumkan bahawa setakat ini masih belum ada peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan jalan berkenaan.